Sejarah perlumbaan Scuderia Toro Rosso

2006

Vitantonio Liuzzi di Grand Prix Kanada 2006

Vitantonio Liuzzi dan Scott Speed merupakan pemandu pasukan bagi musim 2006, dengan Neel Jani menjadi pemandu ujian. Liuzzi telah berlumba separuh masa untuk Red Bull Racing pada tahun 2005, manakala Speed ​​memasuki Formula Satu berikutan pertandingan Red Bull Driver Search di Amerika Syarikat. Sebelum ini, Jani merupakan pemandu ujian untuk Sauber Petronas pada tahun 2004.

Casis Toro Rosso bagi musim 2006 adalah versi RB1 yang telah diubahsuai, iaitu kereta Red Bull Racing pada tahun 2005. Sesetengah pasukan merasakan bahawa ini telah melanggar Perjanjian Concorde kerana setiap pasukan sepatutnya mereka bentuk kereta mereka sendiri. Toro Rosso menuntut bahawa reka bentuk ini, pada asalnya dihasilkan pada tahun 2004 oleh Jaguar Racing, dan hak intelek tersebut merupakan milik Ford Motor Company, syarikat induk Jaguar Racing, sebelum diberikan kepada Toro Rosso.

Pasukan tersebut diberikan tujahan dan udara terhad enjin V10 Cosworth 3.0 milik Minardi. Konsesi ini telah diberikan untuk membantu pasukan dengan mengelakkan kos sumber bekalan baru enjin V8 seperti yang dikehendaki untuk musim 2006.

2007

Vitantonio Liuzzi di Grand Prix Malaysia 2007.

Bagi musim 2007, Toro Rosso menggunakan enjin V8 Ferrari, dan mengambil alih kontrak pasukan senior mereka yang beralih kepada enjin berkuasa Renault.

Pada pelancaran STR2 pada 13 Februari, Toro Rosso mengesahkan bahawa Liuzzi akan terus berlumba untuk mereka bagi musim 2007.[7] Pada 2 Februari, Scott Speed telah disahkan sebagai pemandu kedua. Juara Champ Car, Sébastien Bourdais, menjadi pemandu ujian untuk beberapa beberapa kali sepanjang musim ini.

Pengarah teknikal pasukan yang baru ialah Giorgio Ascanelli. Beliau menggantikan Alex Hitzinger untuk sementara pada 2 April.[8]

Musim 2007 ialah musim yang mengecewakan bagi Toro Rosso, dengan kesilapan pemandu yang membawa kepada keputusan yang teruk. Berikutan Grand Prix Eropah, Scott Speed telah digantikan dalam keadaan yang penuh kontroversi oleh pemandu ujian BMW Sauber, Sebastian Vettel, yang kemudiannya memandu untuk Toro Rosso bagi musim 2008.[9]

Di Grand Prix Jepun 2007, Vettel berlanggar dengan pemandu Red Bull, Mark Webber, di bawah keadaan kereta keselamatan semasa mereka berada di tempat kedua dan ketiga masing-masing, dan Liuzzi berpotensi untuk mendapat satu mata, namun gagal selepas menerima penalti 25 saat kerana memintas Adrian Sutil untuk tempat kelapan di bawah keadaan bendera kuning.

Dengan Perjanjian Concorde 2008 mengharamkan kereta pelanggan dari musim 2010 dan seterusnya, Dietrich Mateschitz meletakkan pasukan Toro Rosso untuk dijual pada Mac 2008. Beliau ingin memastikan bahawa adanya pembeli yang akan membeli pasukan beliau menjelang akhir musim 2009.[10]

2008

Sebastian Vettel (hadapan) dan Sébastien Bourdais di Grand Prix Jepun 2008.

Pemandu Toro Rosso bagi musim 2008 ialah Sebastian Vettel dan Sébastien Bourdais. Bourdais memperoleh mata pertamanya dalam F1 dengan mendapat tempat ketujuh di Australia. Vettel memperoleh mata pertamanya bagi musim ini dengan mendapat tempat kelima di Grand Prix Monaco. Toro Rosso meningkat dengan mantap sepanjang musim, yang membawa kepada prestasi yang kukuh di Belgium, yang menyaksikan kedua-dua kereta menduduki tempat enam teratas bagi kebanyakan tempoh perlumbaan tersebut dengan Bourdais dan Vettel terus menduduki tempat ke-3 dan ke-4 masing-masing pada pusingan terakhir sebelum mereka dipotong oleh kereta yang mempunyai tayar yang lebih sesuai dalam keadaan basah, dan menjatuhkan Vettel ke tempat kelima dan Bourdais ke tempat ketujuh.

Sébastien Bourdais dan Felipe Massa bersaing di Grand Prix Jepun 2008. Mereka kemudiannya berlanggar, dan Bourdais diberikan penalti.

Pada perlumbaan seterusnya di Jepun, Vettel sekali lagi menunjukkan kehebatannya, dengan mendapat tempat ke-6. Bourdais pula beraksi dengan baik, namun berlanggar dengan Felipe Massa, yang berada di tempat ke-8 dan cuba untuk memintas Bourdais. Selepas Bourdais melakukan perhentian pit terakhirnya, Massa cuba untuk memintasnya dan mereka berdua berlanggar di selekoh pertama. Massa terbabas, tetapi menyertai semula perlumbaan dan akhirnya mendapat tempat ke-8. Bourdais menamatkan perlumbaan di tempat ke-6, tetapi diberikan penalti masa 25 saat, dan menjatuhkan beliau ke tempat ke-10. Massa kemudiannya dinaikkan ke tempat ke-7 selepas Bourdais diberikan penalti, dan memberinya satu mata kejuaraan tambahan. Ia merupakan sebuah penalti yang berkontroversi, dan Bourdais berkeras bahawa beliau tidak patut disalahkan.[11]

Toro Rosso membuat kejutan yang besar di Itali, dengan Vettel mendapat petak pertama untuk perlumbaan tersebut dan memenangi perlumbaan pertama dalam kerjaya dan untuk pasukannya. Ia merupakan kemenangan pertama oleh pasukan yang berasaskan di Itali selain daripada Ferrari sejak Grand Prix Jerman 1957, yang dijuarai oleh Juan Manuel Fangio dalam kereta Maserati dan juga kemenangan pertama bagi enjin Ferrari dalam casis pelanggan. Vettel menewaskan Heikki Kovalainen dengan jurang sebanyak 12 saat. Di Singapura, Vettel mendapat tempat kelima manakala Bourdais tidak dapat mengutip sebarang mata. Di China, beliau sekali lagi beraksi dengan cemerlang dengan mendapat tempat keenam.

Persembahan Vettel pada tahun ini menempatkan beliau sebuah kerusi perlumbaan di pasukan Red Bull bagi musim 2009. Bagaimanapun, perlumbaan terakhirnya untuk Toro Rosso hampir menyebabkan beliau memainkan peranan yang penting dalam keputusan kejuaraan dunia di Brazil. Lewis Hamilton memerlukan tempat ke-5 untuk memenangi kejuaraan, dan berada di tempat ini ketika beliau dipintas oleh Vettel dengan baki dua pusingan. Selepas gagal mengekalkan jurang dengan Vettel, Hamilton terus jatuh ke belakang, dan hanya memenangi kejuaraan selepas kedua-dua mereka memintas Timo Glock pada pusingan terakhir.

2009

Disebabkan Vettel menyertai ke pasukan Red Bull Racing untuk menggantikan David Coulthard yang bersara dari Formula Satu,[12] Sébastien Buemi dan Sébastien Bourdais memulakan musim 2009 untuk pasukan. Toro Rosso merupakan pasukan yang terakhir memperkenalkan kereta terbaru mereka. Toro Rosso berbuat demikian pada 9 Mac 2009. Disebabkan oleh kejayaan pasukan pada tahun-tahun sebelumnya, beberapa pemandu ingin berlumba bersama Toro Rosso, termasuk Takuma Sato (yang melakukan tiga ujian bersama mereka) dan Bruno Senna. Pada 16 Julai 2009, Toro Rosso mengumumkan bahawa kontrak Sébastien Bourdais telah ditamatkan serta merta selepas mendapat hanya dua mata pada musim ini. Pada 20 Julai 2009, Toro Rosso mengumumkan bahawa Jaime Alguersuari akan menggantikan Bourdais sepanjang musim ini. Juara World Rally Championship, Sébastien Loeb, telah dipetik oleh sebuah majalah sukan Perancis untuk mengantikan Bourdais. Ia telah dinyatakan bahawa Loeb akan tidak boleh memandu dalam Formula Satu sehingga selepas tamat musim WRC. Beliau bersedia untuk membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu di Grand Prix Abu Dhabi pada bulan November. Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku kerana FIA menolak keinginan Loeb untuk mendapatkan Lesen Super FIA yang diperlukan untuk berlumba dalam Formula Satu. Toro Rosso menamatkan musim ini di tempat kesepuluh dan terakhir dalam kejuaraan. Walau bagaimanapun, prestasi Toro Rosso meningkat pada akhir musim dengan Sébastien Buemi memperolehi mata kejuaraan pada dua perlumbaan terakhir. Namun pemandu baru, Jaime Alguersuari, gagal untuk mendapat mata pada musim ini.

2010

Sébastien Buemi memandu STR5 sebelum musim 2010 bermula di Circuito de Jerez.

Toro Rosso mengesahkan bahawa mereka akan mengekalkan Sébastien Buemi dan Jaime Alguersuari, dengan harapan untuk mencapai keputusan yang lebih baik. Pada 10 November 2009, Toro Rosso mengumumkan bahawa Sébastien Buemi akan terus berlumba untuk mereka bagi musim 2010. Tiada pengumuman rasmi dibuat tentang Alguersuari, walau bagaimanapun Jaime Alguersuari telah dilaporkan akan mengambil tempat duduk pemandu kedua pasukan. Pada 22 Januari 2010, Toro Rosso mengesahkan yang Alguersuari telah menandatangani kontrak yang baru dan mendapat mata pertama dalam kerjayanya dengan mendapat tempat kesembilan di bawah sistem pemarkahan baru di Grand Prix Malaysia. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh di Sepanyol dan mendapat mata kejuaraan selepas Lewis Hamilton bersara lewat dalam perlumbaan. Beliau juga menerima penalti pandu lalu dalam perlumbaan ini. Pada perlumbaan seterusnya di Monaco, Buemi mendapat tempat kesebelas dan Alguersuari mendapat tempat kedua belas. Walau bagaimanapun, apabila Michael Schumacher menerima penalti 20 saat kerana memotong Fernando Alonso, Buemi dinaikkan ke tempat kesepuluh dan mendapat satu mata.

2011

Sébastien Buemi dan Jaime Alguersuari telah telah disahkan sebagai pemandu pasukan bagi musim 2011.[13] Daniel Ricciardo menjadi pemandu ujian pasukan dan mengambil bahagian dalam sesi latihan bebas pada setiap Grand Prix.[14] Kereta Toro Rosso bagi musim 2011, STR6, telah dilancarkan pada 1 Februari di Valencia, Sepanyol.

Jaime Alguersuari mendapat tempat ketujuh di Grand Prix Itali 2011, iaitu keputusan terbaiknya dalam Formula Satu.

Pada awal musim di Australia, Buemi mendapat tempat kelapan. Di Malaysia, kedua-dua Buemi dan Alguersuari gagal mendapatkan mata, manakala di China, kedua-dua kereta berjaya memasuki pusingan kelayakan bahagian ketiga, dan Alguersuari bermula dari tempat ketujuh dan Buemi di tempat kesepuluh. Walau bagaimanapun usaha Alguersuari disia-siakan selepas beliau gagal menamatkan perlumbaan dan Buemi gagal mendapat mata. Grand Prix Turki menyaksikan Buemi manamatkan perlumbaan di tempat kesembilan manakala di Sepanyol, Alguersuari sekali lagi gagal untuk mengutip mata. Di Monaco, Buemi mendapat tempat kesepuluh, manakala Alguersuari gagal menamatkan perlumbaan selepas berlanggar dengan Vitaly Petrov dalam sebuah kemalangan yang membawa kepada bendera merah. Di Kanada, Alguersuari menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

Alguersuari dan Buemi gagal mendapat mata di Grand Prix Jerman, tetapi mereka berdua mendapat mata di Grand Prix Hungary. Buemi bermula di tempat ke-23 dan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan manakala Alguersuari menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh. Di Belgium, Alguersuari mendapat tempat keenam pada pusingan kelayakan namun bersara awal selepas berlanggar dengan Bruno Senna. Buemi juga bersara selepas berlanggar dengan Sergio Pérez. Kedua-dua pemandu mendapat mata di Grand Prix Itali, dengan Alguersuari mendapat tempat ketujuh manakala Buemi mendapat tempat kesepuluh. Di Singapura, kedua-dua mereka gagal mendapat mata.

Di Grand Prix Jepun, Alguersuari mendapat tempat ke-15, manakala Buemi bersara dari perlumbaan disebabkan tayar kereta yang longgar. Di Grand Prix Korea, Buemi mendapat tempat kesembilan, manakala Alguersuari mendapat tempat ketujuh. Alguersuari menamatkan perlumbaan di tempat kelapan di Grand Prix India, manakala Buemi bersara daripada perlumbaan. Di Grand Prix Abu Dhabi, Alguersuari gagal mendapat mata manakala Buemi bersara dari perlumbaan. Kedua-dua pemandu tidak mendapat mata di Grand Prix Brazil.

2012

Jean-Éric Vergne mendapat mata kejuaraan pertamanya dalam Formula Satu di Grand Prix Malaysia 2012, seperti rakan sepasukan, Daniel Ricciardo, yang mendapat mata kejuaraan pada perlumbaan sebelumnya di Australia.

Pada 14 Disember 2011, ia telah diumumkan bahawa Daniel Ricciardo dan Jean-Éric Vergne akan memandu untuk pasukan bagi musim 2012, dengan menggantikan Sébastien Buemi dan Jaime Alguersuari. Pengarah pasukan, Franz Tost, kemudiannya menyatakan bahawa Toro Rosso terpaksa melakukan sesuatu tentang "sekolah latihan rookie" mereka, dengan harapan untuk membawa bakat baru kepada Toro Rosso. Selepas mendapat mata dalam dua perlumbaan pertama pada musim ini, Toro Rosso gagal mendapat sebarang mata dalam sembilan perlumbaan berturut-turut, namun mendapat mata di Grand Prix Belgium.

Pada 6 September 2012, ia telah diumumkan bahawa James Key telah menjadi Pengarah Teknikal Toro Rosso selepas mengantikan Giorgio Ascanelli.[15]

Walaupun mendapat keputusan yang baik dalam beberapa perlumbaan terakhir, Toro Rosso mengharungi musim yang sukar, di mana pasukan hanya mendapat tempat kesembilan dalam Kejuaraan Pengeluar, hanya di hadapan Caterham, Marussia dan HRT.

2013

Pada 31 Oktober 2012, ia telah disahkan oleh Toro Rosso bahawa mereka akan mengekalkan pemandu musim 2012, iaitu Daniel Ricciardo dan Jean-Éric Vergne bagi musim 2013. [16]

Pasukan gagal untuk memulakan musim ini dengan baik di Grand Prix Australia selepas Vergne mendapat tempat ke-12 dan Ricciardo disebabkan oleh masalah ekzos. Bagaimanapun di Grand Prix Malaysia, Vergne berjaya mendapat mata pertama pasukan pada musim ini dengan mendapat tempat kesepuluh. Ricciardo sekali lagi bersara disebabkan oleh masalah ekzos, namun diklasifikasikan di tempat ke-18. Di Grand Prix China, nasib Ricciardo berubah selepas mendapat tempat ketujuh, manakala Vergne hanya mampu mendapat tempat ke-12. Di Grand Prix Bahrain, tayar kereta Vergne pancit dan terpaksa bersara dan Riccardo menamatkan perlumbaan di tempat ke-16, satu pusingan di belakang pemenang. Di Sepanyol, Riccardo mampu mendapat mata dengan mendapat tempat ke-10, tetapi sekali lagi menamatkan perlumbaan satu pusingan di belakang pemenang, manakala Vergne mengalami kamalangan dan terpaksa bersara. Di Monaco, nasib Vergne pula berubah setelah mendapat tempat ke-8 dan mendapat 4 mata manakala Riccardo, seperti rakan sepasukannya di Sepanyol, terlibat dalam kemalangan dan bersara.

Di Grand Prix Kanada, pasukan mendapat keputusan kelayakan terbaik mereka sejak Grand Prix China 2011, selepas Vergne mendapat tempat ketujuh dan Ricciardo di tempat kesepuluh. Vergne menamatkan perlumbaan di tempat keenam, dan ia merupakan keputusan Toro Rosso yang terbaik sejak Grand Prix Brazil 2008.

2014

Pada hujung minggu di Grand Prix Monaco 2013, ia telah diumumkan bahawa Toro Rosso telah menandatangani perjanjian jangka masa lama bersama Renault untuk menggunakan enjin mereka pada tahun 2014.[17]

Rujukan

WikiPedia: Scuderia Toro Rosso http://www.ausmotive.com/2013/05/26/toro-rosso-to-... http://www.autosport.com/news/report.php/id/61270 http://www.autosport.com/news/report.php/id/65874 http://www.autosport.com/news/report.php/id/69187 http://www.autosport.com/news/report.php/id/71360 http://www.autosport.com/news/report.php/id/85285 http://www.formula1.com/news/headlines/2007/4/5860... http://www.formula1.com/news/headlines/2008/11/873... http://www.formula1.com/news/headlines/2010/11/115... http://www.formula1.com/news/headlines/2012/10/139...